2013年3月27日 星期三

TERKINI! ESSZONE, TAMBAHAN 10 LAGI ASET PERMUKAAN LAUT KEPADA 62 BUAH, JAGA PERAIARAN SABAH!!!#prayforsabah #lahaddatu



LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mewujudkan enam pangkalan baharu di persisir pantai Sabah sebagai tindakan susulan penubuhan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) yang bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan di negeri itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, APMM akan turut mengerakkan lima kapal dan lima bot perondanya ke kawasan itu sebagai tambahan kepada 52 aset permukaan laut sedia ada.
Beliau berkata enam pangkalan serta pos kawalan itu akan dibangunkan di Kudat, Felda Sahabat, Kunak, Indera Sabah, Beluran dan Jambongan.


"Dalam mempertingkatkan keberkesanan Esszone, kami akan mewujudkan enam pangkalan serta pos kawalan kami sendiri bagi memantau keselamatan perairan Sabah selain bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan  ucaptama pada Persidangan Pengawal Pantai Asia di sini hari ini.
Beliau berkata, penambahan beberapa aset seperti kapal dan bot peronda dilihat mampu memainkan peranan penting dalam pelaksanaan Esszone selain menambah beberapa peralatan terkini yang dijangka mampu melicinkan penugasan anggota APMM.

"Kami telah menerima peruntukan RM5.09 juta daripada kerajaan untuk membeli beberapa kelengkapan seperti jaket kalis peluru, helmet, dan  peralatan pengesan waktu malam selain turut diguna untuk membeli beberapa senjata dan peluru," katanya.
Beliau berkata peralatan itu akan diterima APMM selewat-lewatnya 15 April untuk diguna dalam pelaksanaan Esszone.

Seramai 400 anggota terlibat dalam pelaksanaan Esszone, katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan bercadang menyelaraskan jawatan serta pangkat anggota APMM seperti yang dilakukan terhadap pasukan polis dan ATM.
"Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan ia akan dipertimbangkan," katanya. - Bernama

沒有留言:

張貼留言